Siapakah Taliban?

 

Siapakah Taliban?

Perkataan 'Taliban' adalah satu gerakan yang membawa nada negatif serta sering dikaitkan dengan keganasan.

Dikenakan pada mana-mana pihak atau sesiapa saja yang kebiasaannya Muslim yang dilihat mempunyai pegangan keras terhadap perkara-perkara tertentu - 'Taliban' menjadi cacian banyak pihak yang sebenarnya langsung tidak memahami apa yang mereka ucapkan.

Persoalannya, benarkah Taliban selari dengan keganasan atau hanya sekadar satu salah faham yang sengaja diperbesarkan? Jom kita rungkaikan serba sedikit sejarah awal penubuhan gerakan Taliban.



Apa itu Taliban?

Nama ‘Taliban’ membawa maksud ‘Sekumpulan pelajar’, menggabungkan perkataan Arab 'Talib' dengan imbuhan 'an' yang diambil daripada dialek Parsi/Pashtun.

Gerakan ini dinamakan sedemikian rupa kerana pada peringkat awal permulaannya, selain daripada disertai kumpulan penentang Mujahid, gerakan ini turut menerima penyertaan ribuan 'pelajar-pelajar madrasah' yang terletak di sekitar Afghanistan dan Pakistan. Justeru itu, nama "Taliban" atau "Pelajar" ini digunakan sebagai sinonim bagi gambaran perjuangan mereka.



Sejarah Afghanistan

Berikutan pendudukan Kesatuan Soviet ke atas negara mereka, kumpulan-kumpulan Mujahid - pejuang-pejuang bebas yang mahu membebaskan negara mereka, mendapat dana bantuan daripada negara-negara anti Soviet dan juga Pakistan dalam melancarkan pemberontakan ke atas kerajaan Kesatuan Soviet.

Kesatuan Soviet mula menduduki Afghanistan selepas berlakunya perang saudara di antara ahli-ahli Parti Demokratik Afghanistan (PDPA) - sebuah parti komunis yang sangat rapat dengan kerajaan Soviet. PDPA membentuk kerajaan selepas merampas kuasa melalui satu insiden pembunuhan mengorbankan Presiden Afghanistan pertama, Daoud Khan pada tahun 1978.



Pembunuhan Daoud Khan oleh PDPA

Selepas Daoud Khan mengumumkan pengharaman parti PDPA bagi menghilangkan ancaman ke atas kerajaan yang dilihat mahu melakukan pemberontakan, Daoud Khan dibunuh oleh anggota PDPA. Selain itu, dengan bantuan anggota tentera Pro PDPA, ahli PDPA turut membunuh pengikut setia Daoud Khan serta ahli keluarganya. Ini menyebabkan Kabul, ibu negara Afghanistan jatuh ke tangan PDPA.

Dengan itu, pergelutan kuasa di antara ahli-ahli PDPA mula berlaku selepas pembunuhan Daoud Khan. Ini memberi peluang kepada kerajaan Soviet untuk campur tangan bagi meredakan ketegangan.


Pemberontakan melawan pengaruh Soviet 

Hafizullah Amin

Pemimpin tertinggi PDPA bernama Hafizullah Amin digempur dan dibunuh dalam satu operasi pada bulan Disember 1979 digantikan dengan Babrak Karmal, salah seorang bekas pengasas PDPA yang mesra Soviet. Beliau diangkat sebagai Presiden baru Afghanistan.


Boneka Soviet: Babrak Karmal

Berikutan perlantikan Babrak Karmal yang didakwa hanya boneka Soviet, kerajaan Soviet dilihat mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam membentuk sistem kerajaan Afghanistan. Walau bagaimananpun, "Anti Kesatuan Soviet" dari negara-negara kuasa besar dunia mula mencari jalan bagi mengurangkan pengaruh Kesatuan Soviet ke atas negara tersebut.


Gerakan Mujahid

Serangan jihad ke atas kerajaan Babrak Kamal mula dilancarkan secara kecil-kecilan oleh "Gerakan Mujahid". Gerakan Mujahid juga turut mendapat bantuan dana daripada Pakistan serta agensi perisikan CIA Amerika Syarikat dengan memperolehi kelengkapan perang yang lebih baik.

Akhirnya, Babrak Kamal dijatuhkan sendiri oleh Kesatuan Soviet selepas Soviet melihat Babrak Kamal gagal mentadbir negara dengan baik. Ia digantikan pula dengan Mohammad Najibullah, seorang lagi bekas pemimpin PDPA yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan pemimpin kerajaan Soviet pada tahun 1986.


Mohammad Najibullah meletakkan Jawatan 

Selepas berjaya menyingkirkan pengaruh Babrak Kamal sepenuhnya daripada kerajaan beliau, Najibullah mula menggerakkan siri rundingan bagi menghentikan pertempuran yang masih berlaku di antara kerajaan beliau dengan Gerakan Mujahid. Antara perubahan yang diperkenalkan adalah seperti Reformasi ekonomi, pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi, dan memulakan usaha rundingan yang lebih kerap dengan kumpulan Gerakan Mujahid.

Walau bagaimanapun, Najibullah kehilangan sokongan negara berkuasa besar akibat Kejatuhan Soviet yang menyebabkan Najibullah meletakkan jawatannya sebagai Presiden Afghanistan pada tahun 1992 tanpa bantuan luar. Hal ini menyebabkan Afganistan tidak lagi mempunyai kerajaan sendiri.



Kebangkitan Taliban

Ekoran wujudnya vakum kuasa pemerintahan, kumpulan-kumpulan Mujahid yang sebelum ini bersatu menentang pencerobohan mula berkelahi sesama mereka dalam merebut kuasa dan wilayah masing-masing.

Beberapa penambahbaikan ekonomi yang diperkenalkan oleh Najibullah lenyap selepas wilayah-wilayah di Afghanistan mula dikawal pelbagai kumpulan-kumpulan Mujahid yang berebut kuasa. Sokongan dana daripada luar seperti yang diperolehi mereka sebelum itu daripada CIA dan Pakistan juga mula dihentikan, memaksa kumpulan Mujahid yang ramai ini mencari sumber dana lain.

Bagi mendapatkan dana, kumpulan-kumpulan ini mula memperkenalkan langkah-langkah ketat seperti mendapatkan bayaran tol dengan melakukan sekatan ke atas jalan raya utama di dalam wilayah kawalan mereka serta memeras ugut penduduk di kawasan mereka. Kelompok Mujahid yang tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku kembali meneruskan pengajian mereka di Madrasah dan tidak mencampuri pertelagahan yang berlaku hampir dua tahun. 


Gerakan Taliban oleh Mullah Omar (Amirul Mukminin)

Sekitar tahun 1994, satu gerakan yang diketuai oleh Mohammad Omar (turut dikenali sebagai Mullah Omar) menjadi terkenal di kalangan masyarakat Afghanistan kerana mereka dikatakan mahu membawa perubahan dan menyatukan masyarakat Afghanistan yang berpecah-belah.

Mullah Omar merupakan salah seorang anggota gerakan Mujahid yang terlibat dalam peperangan sejak bermulanya pendudukan Soviet. Beliau memainkan peranan besar iaitu mahu memulakan usaha menyatukan kembali masyarakat yang sudah berpecah-belah, berhasrat ingin mengembalikan keamanan, melindungi kedudukan Islam serta mahu memperkenalkan undang-undang Syariah di negara tersebut.


Taliban menguasai Afghanistan

Tidak mahu terus terlibat dalam pergelutan yang berlaku di kalangan bekas rakan seperjuangannya, Mullah Omar memulakan gerakan Taliban pada tahun 1994, disokong oleh kumpulan awal 50 orang pelajar yang mahukan perubahan. Jumlah keahlian mereka bertambah secara mendadak dalam masa yang singkat sehingga mencecah belasan ribu tidak sampai dalam tempoh sebulan.

Berikutan jumlah keanggotaan yang semakin ramai serta momentum gerakan yang nyata semakin kuat, Taliban mula memasuki Kandahar pada penghujung tahun 1994, berjaya membebaskan bandar tersebut daripada pergolakan. Usaha untuk mengambil alih sepenuhnya kerajaan Afghanistan seterusnya menyatukan masyarakat mereka diteruskan. Dua tahun kemudian, pada bulan September 1996 – Presiden Burhanuddin Rabbani telah Berjaya menawan ibu negara Kabul daripada pemerintahan.


'Emirat Islam Afghanistan'

Berikutan kejayaan menawan hampir 90 peratus wilayah di Afghanistan, Mullah Omar dan gerakan Taliban memperkenalkan beberapa undang-undang yang mengubah cara hidup mereka. Muzik mula diharamkan dan golongan wanita tidak lagi dibenarkan berada di tempat awam. Sistem cukai dan zakat diperkenalkan. Kerajaan berorientasikan Taliban ditubuhkan dan negara Afghanistan diberikan nama rasmi 'Emirat Islam Afghanistan' dengan Mullah Omar memegang jawatan sebagai Amirul Mukminin.

Kerajaan Afghanistan di bawah pemerintahan Mullah Omar berjaya menstabilkan kawasan tersebut. Walaupun begitu, ketika pemerintahan mereka hanya tiga buah negara mengiktiraf kerajaan tersebut iaitu Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan juga Pakistan.

Bagaimanapun, Mullah Omar tidak dapat bertahan lama memegang kuasa.


Melindungi Osama bin Laden

Osama bin Laden yang ketika itu diburu kerajaan Amerika Syarikat melakukan perjanjian dengan Mullah Omar, membolehkan Osama mendapatkan perlindungan di negara tersebut dengan syarat Osama menghentikan sebarang bentuk serangan ke atas Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, insiden pengeboman kedutaan Amerika Syar di Afrika Timur yang didakwa didalangi Osama dan al-Qaeda pada tahun 1998 - menyebabkan konflik di antara mereka berdua. Walaupun begitu, Afghanistan tetap memberikan perlindungan kepada Osama sehinggalah terjadinya insiden 11 September 2001, di mana al-Qaeda didakwa menyebabkan keruntuhan menara World Trade Centre, New York.

Keengganan kerajaan Taliban Afghanistan menyerahkan Osama bin Laden pada Amerika Syarikat serta terus membenarkan individu pemimpin Al-Qaeda berlindung di negara mereka, menyebabkan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush mengisytiharkan kerajaan Taliban sebagai musuh mereka.



'Operation Enduring Freedom' oleh Amerika Syarikat

Mempunyai alasan untuk menceroboh masuk, Amerika Syarikat mendesak PBB meluluskan kempen anti keganasan mereka ke atas Afghanistan, walaupun jurucakap Taliban menafikan penglibatan Osama bin Laden dalam serangan tersebut. Kerajaan Afghanistan juga dituduh berusaha melindungi pengganas apabila mengenakan syarat iaitu sebarang perbicaraan yang mahu dilakukan ke atas Osama, perlu dilakukan di Afghanistan sekiranya mahu mereka menyerahkan Osama bin Laden.

Pada 7 Oktober (tidak sampai sebulan selepas insiden di World Trade Centre), Amerika Syarikat dengan Kerjasama United Kingdom memulakan serangan ke atas Afghanistan dalam operasi yang dilabelkan sebagai 'Enduring Freedom’.

Tidak lama selepas itu, Kabul Berjaya ditawan dengan bantuan daripada Kumpulan Militia Anti-Taliban yang berpusat di Utara Afghanistan. Rumah Mullah Omar dibom peluru jarak jauh, mengorbankan anaknya yang berumur 10 tahun serta seorang pakciknya. Mullah Omar yang cedera teruk berjaya menyelamatkan diri dan menghilangkan diri (tidak dapat dipastikan di mana dia bersembunyi). 

Pada tahun 2015, kerajaan Afghanistan mengumumkan Mullah Omar, pengasas gerakan Taliban disahkan meninggal dunia pada tahun 2013. Gerakan kecil yang bermula dengan 50 orang pelajar bergelar Taliban pula terus aktif cuba merampas semula wilayah yang didakwa milik mereka sehingga kini.

Terdapat banyak percanggahan serta khabar angin berkenaan kedudukan pusara Mullah Omar dengan perbincangan berkenaan punca kematiannya serta lokasi di mana dia bersembunyi selama hampir 15 tahun, terus berlaku di kalangan pengkaji gerakan ini.



Begitulah serba sedikit bagaimana gerakan taliban bermula. 

Terima kasih.



Comments

Popular posts from this blog

Duhan - Serhat Durmus, Mazlum Uruc (Arabic - English Translation) Lyrics

Lifeline - Gentleman ft. Ezhel (Turkish - English Translation) Lyrics

Popcat "Catlympic" Trending 2021